Romantik cara Beto Kusyairy


ATAS permukaan kanvas seni, Beto Kusyairy dilihat memenuhi ciri-ciri sebagai hero idaman. Ini bukan soal pesona mahupun wajah yang tampan, namun roh bagi setiap watak yang diberikan kepadanya berjaya diserap dan diterjemahkan sebaik mungkin untuk dijadikan tatapan yang malar segar pada masa depan.

Biar ada yang menganggap pemilik nama sebenar Nurkusyairy Zakuan Osman, 35, itu sekadar diibaratkan sebagai wira yang tidak didendang ekoran jarang disimbahi percikan aura glamor sejak hampir satu dasawarsa mewarnai pentas lakonan, itu bukan alasan buat Beto mendabik dada dan menongkah langit.

"Sebenarnya, saya tidak berhak untuk memperkatakan sesuatu mengenai kualiti lakonan saya. Ini kerana, penonton yang menilai kualiti lakonan, jadi apa yang boleh saya katakan adalah sentiasa memberikan sepenuh komitmen dalam setiap hasil lakonan sejak dahulu.

"Saya bukan berada dalam lapangan ini untuk mengejar populariti dan kehidupan glamor. Sebagai penyampai kisah dan teladan, saya perlu melaksanakan tanggungjawab sehabis baik.

"Justeru, terpulang kepada penilaian penonton dan saya sentiasa menerima kritikan seadanya. Sebagai manusia, saya tidak pernah berhenti untuk belajar meskipun sudah hampir sedekad bergelar pelakon," katanya kepada Sensasi Bintang.

Beto juga memiliki alasannya tersendiri untuk bersikap selektif tatkala memartabatkan namanya sebagai aktor serba boleh.

"Saya cukup memilih dan bukan sekadar main rembat apabila meneliti terlebih dulu setiap karya, skrip, pengarah termasuk dengan siapa saya akan berlakon. Ini adalah karier saya, jadi saya cukup serius dan menitikberatkan perkara-perkara seperti ini.

"Ini periuk nasi saya, jadi saya mahu sumber rezeki saya berkat. Saya juga lebih selesa menyelesaikan sesuatu kerja terlebih dulu sebelum terlibat dalam projek seterusnya sebab tidak suka tekanan, selain mahu mengelak kebarangkalian menjiwai watak yang salah untuk drama atau filem berbeza. Terus-terang, tekanan seperti itu bukan sesuatu yang menyeronokkan, jadi ada baiknya saya menyelesaikan satu persatu," ujarnya mohon dimengerti.


SEBAGAI penyampai kisah dan teladan, Beto mahu sentiasa jujur dan ikhlas ketika berkarya.

Video eksklusif buat isteri

Kalau sudah namanya hero, nama Beto pastinya terletak pada hierarki yang paling tinggi dalam kotak hati peminat. Jadi, bagaimana agaknya karisma Beto di mata isterinya, Tisha Shahar yang disunting menjadi permaisuri hatinya sejak 1 Februari 2008? Adakah Beto cukup romantis di mata Tisha?

"Soal romantik, ada baiknya tanya isteri saya. Cuma, saya akan berusaha meluangkan masa bersama isteri setelah terlalu sibuk bekerja," katanya tertawa.

Sengaja mengajak lelaki ini terus berbicara mengenai sifat romantis dirinya sebagai seorang suami yang barangkali tidak diketahui ramai orang. Selepas puas tersenyum dan ketawa, ini jawapan akhir Beto.

"Jika lama tidak pulang ke rumah gara-gara terikat dengan set penggambaran yang padat, saya akan membuat satu klip video seperti menyanyi khas buat isteri.

"Video itu hanya untuk dia seorang, orang lain tidak akan tahu langsung mengenai kewujudan video tersebut," ujarnya melirik senyum.


BETO kini lebih selesa melepak di rumah gara-gara faktor usia.

Sisi berbeza dalam hidup

Tutup cerita mengenai soal peribadi. Tatkala menyelongkar sisi berbeza Beto, dia mengakui, berkemungkinan besar menjadi jurulatih seni bela diri ataupun jurufoto sebagai kerjaya jika tidak bergelar aktor sekarang.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan menjadi jurulatih selaman kerana cukup suka menyelam selama ini, selain mula berjinak-jinak dengan sukan paragliding dan permotoran.

"Apa yang saya perasan, saya juga lebih suka menghabiskan masa di rumah berbanding dahulu, mungkin kerana faktor usia. Jika keluar pun, sekadar berjalan-jalan bersama isteri," ceritanya lagi.

Ungkap Beto, dia juga sukakan perkara yang lasak dan mencabar kemampuan diri sendiri kerana mahu mencuba sesuatu yang membakar adrenalin dirinya.

"Saya sebenarnya seorang yang pendiam serta mengambil masa untuk mesra dengan seseorang, ia sebagai salah satu cara untuk saya mengenali seseorang bagi mengelakkan tersinggung dan sebagainya.

"Kadangkala, saya juga terlalu mahu menjaga hati orang lain. Biarpun kadang-kadang ada orang mahu mengambil kesempatan dan menyakitkan hati, saya masih mahu menjaga perhubungan itu. Cuma, itu bukan satu masalah besar kerana saya sudah dididik oleh ibu bapa berhubung perkara itu. Jadi, saya lebih selesa memandang sesuatu dengan lebih positif.

"Saya juga tidak terlalu menganalisis dan enggan merancang sesuatu, sebaliknya selesa menyesuaikan diri dengan keadaan," jelasnya yang turut sukakan warna hitam, putih dan merah.


Watak dalam Bravo 5

Kalau nak tahu, filem terbaharu Beto iaitu Bravo 5 arahan M Hitler Zami bakal menjengah pawagam tempatan pada 10 September depan.

"Dalam filem itu, saya diberikan tanggungjawab untuk membawakan watak sebagai Trooper Karim, seorang anak yatim piatu yang kesunyian dan mempunyai masalah disiplin. Dia juga sering memberontak, tetapi tetap terpilih memandangkan dia yang terbaik dalam unit ronda kumpulan kecil (RKK) bagi melaksanakan sesuatu misi mengesan seorang askar Melayu yang ditawan komunis.

"Konflik mula tercetus apabila dia sukar bekerjasama dengan rakan-rakan kerana beranggapan dirinya bagus sedangkan dia tidak sebagus mana. Filem ini berlatarkan situasi yang berlaku sekitar tahun 1980-an," jelasnya lagi.

Menurut Beto, majoriti penggambaran filem itu dilakukan selama hampir 40 hari di Tapah, Perak sekitar lima tahun lepas.

"Saya kurang pasti sebab apa ia lewat ditayangkan, mungkin atas faktor teknikal termasuk pengeditan bagi memastikan ia benar-benar terbaik. Ini kali pertama saya terlibat dalam filem berorientasikan patriotik.

"Sebelum menjalani penggambaran, kesemua pelakon telah dihantar oleh pihak produksi menjalani latihan ketenteraan di Kem Sungai Udang, Melaka. Boleh dikatakan kami telah 'berguru' secara intensif bersama komando (Rejimen Gerak Khas) di sana hampir dua minggu termasuk bagaimana cara untuk mengendalikan senjata, formasi bergerak dalam hutan, selain mengenal pasti sebarang jerangkap samar. Ia pengalaman sangat berharga.

"Pada mulanya, saya agak cuak apabila menjalani latihan seperti itu, tetapi alhamdulillah, kami menerima layanan yang cukup bagus daripada pihak tentera. Kami dilatih menjalani perkara asas supaya tidak nampak janggal di depan kamera," ujarnya.

Selain Beto dan Remy Ishak sebagai Leftenan Azri, turut berlakon dalam filem berkenaan ialah Sashi Tharan (Koperal Morgan), Xavier Fong (Koperal Ah Chia) dan Frank Peterson sebagai Sarjan Unya.

"Keserasian sesama kami dilihat mula terbentuk sepanjang menjalani latihan bersama-sama di kem tersebut. Saya tidak membuat rujukan secara khusus bagi menjayakan watak ini, cukup sekadar pengetahuan secara umum.

"Pada awalnya, saya terfikir sama ada filem sebegini akan mendapat sambutan ataupun tidak. Cuma, saya tidak akan dapat meraih kepuasan menjayakan watak seperti itu jika berterusan berfikiran sedemikian. Jadi, saya tolak perkara itu ke tepi terlebih dahulu kerana sentiasa percaya sekiranya kita ikhlas melakukan sesuatu, Allah sentiasa tunjukkan jalan," jelasnya.

Getus Beto, hampir 100 peratus aksi lagak ngeri dalam filem ini juga dilakonkan oleh mereka sendiri.

"Pada mulanya, pihak produksi (Karya Prima Production Sdn. Bhd.) mahu menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri dalam kalangan komando, namun kami enggan. Cuma, ia masih dipantau pihak komando yang amat menitikberatkan soal keselamatan kami sepanjang penggambaran. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar.

"Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah apabila kami berlima turun daripada helikopter Nuri dengan ketinggian 100 meter menggunakan tali. Ini merupakan filem yang paling mencabar buat saya dari segi tuntutan fizikal. Memikul tanggungjawab bagi menjayakan watak seorang komando sememangnya cukup besar kerana kami perlu menjaga imej pihak tentera.

"Dalam unit RKK, setiap anggota juga ada peranan masing-masing yang diketuai oleh leftenan. Antara tugas yang harus digalas setiap anggota termasuk menjaga perhubungan telefon, penembak tepat, jerangkap samar serta marker yang berada di formasi paling depan dalam setiap perjalanan.

"Masing-masing ada tugas dan kisah tersendiri sebelum membentuk sebuah pasukan, jadi saya percaya kekuatan setiap watak seimbang dalam filem ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Beto memanjatkan rasa syukur kepada Ilahi apabila mengungguli kategori Pelakon Komedi Lelaki Terbaik (Filem) menerusi filem Gila Baby pada Anugerah Lawak Warna 2015 kelmarin, Beto turut menyifatkan trofi itu sebagai penghargaan dan membuktikan kemampuannya sebagai pelakon versatil.

"Ini kali pertama saya diiktiraf menerusi cabang komedi. Sebagai dasar seorang pelakon, sudah tentu saya mahu meneroka cabaran dan tidak sekadar terikat dengan watak tertentu," ujarnya.

Previous Post Next Post